Kerajaan mengisytiharkan bulan November pada setiap tahun sebagai Bulan Integriti. Pelbagai acara dan program dianjurkan di pelbagai peringkat agensi Kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahu pun Kerajaan Negeri demi menyahut Sambutan Bulan Intergiti di peringkat masing-masing Jabatan. Bahkan, sebagai dorongan, Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah atau AIGA juga diperkenalkan sebagai satu komitmen serius pihak Kerajaan dalam mengangkat peri pentingnya aspek integriti di setiap bidang dan sektor di negara ini.
Apakah yang terlintas di fikiran para pembaca apabila seseorang bertanyakan tentang apakah yang begitu penting tentang integriti? Bagaimana ia diberi pengertian dan siapakah yang harus terlibat dalam membicarakan topik integriti ini?
Terlalu lumayan perbincangan tentang etika atau integriti baik secara ilmiah atau akademik sehinggalah di peringkat perbualan santai di kedai kopi. Ia merupakan satu topik yang peribadi sifatnya, melibatkan keperibadian seseorang. Seorang yang dilihat menjaga integriti akan diangkat sebagai seorang yang baik & mulia di dalam keluarga & komuniti berbanding sebaliknya.
Perbincangan berterusan tentang kaitan rapat di antara ilmu kepimpinan dan integriti ibaratnya tidak bertepi. Semakin maju sesebuah komuniti & negara, semakin tercabar pula daya kepimpinan pemimpin dan kepimpinannya. Ibaratnya, semakin tinggi pula cabaran dengan isu-isu berkaitan integriti.
Penulis tertarik dengan satu tulisan Tn Hj Mohd Affandi Hassan, mantan Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD) Kanan di dalam bukunya yang bertajuk, ‘The Tawhidic Approach in Management and Public Administration’ diterbitkan pada tahun 1992 oleh Institut Tadbiran Negara (INTAN), sebuah agensi yang terlibat secara langsung dalam aktiviti latihan dan pembangunan melibatkan penjawat awam di negara ini.
Beliau mengulas dan memetik pandangan Prof Muhammad Naquib Al-Attas (kini Profesor Diraja) di dalam ‘Islam and Secularism’ terbitan 1978 bahawa dilema umat berpunca dari tiga faktor utama. Beliau menjelaskan lanjut:
‘..the dilemma of Islamic ummah (community) today stemmed from three main reasons; first, the confusion in the concept of knowledge, and this resulted in the second situation that is the the loss of adab in society and these two issues brought about a third situation that is the emergence of false leaders in all aspects of social and spiritual life’
(halaman 7)
Petikan di atas memerihalkan bahawa adalah sangat penting bagi setiap individu benar-benar memahami berdasarkan ilmu pengetahuan agar kekeliruan ilmu pengetahuan dapat dielakkan. Jika ini berlaku, makanya akan terjadilah salah faham tentang adab atau keadilan di dalam masyarakat yang akan melahirkan kepimpinan palsu atau keliru. Ia bermula dengan setiap individu itu memberikan komitmen untuk mendapatkan dengan ilmu yang betul.
Sesiapa sahaja kini boleh mencapai (akses) takrifan umum tentang kepimpinan, kepengikutan, etika & integriti.
Misalnya beberapa cubaan menakrifkan integriti,
People Talk About Honesty Means Talking About Integrity
[Apabila bercakap tentang kejujuran, ianya tentang integriti]
Perceived Pattern Of Alignment Between The Leader’s Words And Deeds Practicing What They Preach
[(Integriti) itu apabila apa yang diucapkan oleh seorang Ketua sepadan dengan apa yang Ketua itu lakukan]
Integrity Establishes a More Effective Organizational Leadership
[Integriti mewujudkan kepimpinan organisasi yang lebih efektif]
Penulis lebih cenderung untuk memberi makna yang lebih luas tentang kaitan kepimpinan dan integriti.
Ia termasuk meliputi tentang ‘bagaimana seseorang insan atau individu itu memilih untuk mengenali dirinya sebagai seorang insan, berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu dan kefahaman demi tugas dan amanah yang digalas di muka bumi ini serta terus-terus memberi manfaat kepada setiap yang ada di sekelilingnya’.
Tahap integriti seseorang itu baik sebagai individu mahu pun sebagai seorang ketua & pemimpin haruslah kekal berpandukan kepada apa yang dituntut oleh Yang Maha Mencipta dan seperti ditunjuk cara oleh para Nabi dan awliya’. Misalnya, satu perkara yang diterima umum namun bersalahan dengan ketetapan Agama atau peraturan akan tetap dianggap salah.
Pandangan alam seorang individu itu tidak hanya perlu tertumpu kepada mencapai sasaran atau impian di dunia ini semata-mata. Seorang yang meyakini dan mengimani akan adanya Hari Akhirat sebagai ‘the end in mind’ & Hari Pembalasan akan menetapkan tujuan akan perjalanan pendek di atas dunia ini adalah hanya untuk mencari redha Yang Maha Mencipta (seeking the Pleasure of God).
Seorang ketua itu, seperti yang dinukilkan oleh Hj Affandi dalam memetik tulisan Prof Al-Attas di atas, perlu secara terus-terusan mencari dan mendalami ilmu yang benar supaya kepemimpinan diri dan organisasi akan hanya berpandukan kepada kompas Agama yang juga benar. Ianya bermula dengan mendidik diri (tarbiyatun nafs) dengan hati sebagai ibarat raja kepada ‘kerajaan kecil kepada diri’ atau alam kecil bagi setiap individu.
Justeru, adalah penting bagi setiap dari kita di peringkat masing-masing diri dan individu mengambil peluang berharga bermodalkan masa yang berbaki untuk menimba kefahaman tentang ilmu kepimpinan diri yang baik agar mereka yang dipimpin dan setiap yang ada di sekeliling beroleh manfaat dan kebaikan jua. Kita tidak mahu skandal ENRON tahun 2006 yang pernah menggemparkan dunia kewangan berulang hanya kerana pimpinan firma terkenal tersebut bernama Jefferey Skilling menganggap, seperti yang ditulis di dalam buku ‘Authentic Leadership’ oleh Bill George, adalah menjadi tugas penguatkuasa untuk menangkap seorang pesalah dan jika pesalah itu terlepas, ia bukan menjadi satu kesalahan. Ia membawa kepada salah laku dan salah guna kuasa yang mengakibatkan kerugian USD 60 billion berbentuk aset ketika itu.
Sebagai pimpinan organisasi atau firma, apakah peranan yang perlu dimainkan demi mengangkat agenda penting ini agar setiap warga kerja berperanan mengikut fungsian masing-masing?
Syor & Penambahbaikan
Tiga syor ingin Penulis ketengahkan sebagai langkah susulan dan ia termasuk yang berikut:
- Memberikan kefahaman yang jelas dan betul berdasarkan ilmu yang betul kepada individu dan warga kerja tentang integriti,
- Menggalakkan sesi perbualan, perbincangan & latihan berterusan berkenaan topik di setiap peluang dan peringkat,
- Menggalakkan pembinaan SOP peribadi dalam menetapkan daya integriti setiap individu.
Perbincangan di atas mengenengahkan amanah peribadi yang harus digalas untuk meletakkan agenda integriti sebagai satu agenda bersifat peribadi agar ia difahami dengan betul sebelum diangkat ke peringkat organisasi dan komuniti. Apabila kefahaman peri pentingnya menjaga dan mempertahankan integriti disedari oleh setiap individu, nescaya kesan kebaikan tersebut akan turut terkesan kepada organisasi dan masyarakat umum.
Oleh :
Hj Syamsul Amri A Razak