Title: Kelebihan Seorang Ketua Dengan Jaringan

Petikan dari Bab dan disesuaikan dari Buku Pertama Penulis: ‘The Art Impactful Networking (2023)

Kelebihan Seorang Ketua Dengan Jaringan

Pernahkan para pembaca ditanya tentang kaitan seseorang ketua itu dengan jumlah atau kualiti jaringan yang dimiliknya sama ada memberi nilai tambah terhadap gaya dan daya kepimpinan ketua tersebut atau tidak? Apakah pula respon pembaca terhadap soalan tersebut?

Ketua dan Jaringan

Berdasarkan hasil pemerhatian Penulis dalam mengendalikan sejumlah sesi latihan berkaitan mengupayakan kemahiran membina jaringan, staf dalam mana-mana organisasi mengharapkan agar ketua mereka memiliki ‘network’ bahkan kadang-kadang mereka menyebutnya sebagai ‘kabel’ demi memudahkan pelbagai urusan organisasi. Ini mudah untuk difahami berbalik pada manfaat yang jelas dilihat apabila seseorang ketua jabatan atau syarikat tersebut mempunyai hubungan baik dengan pihak-pihak luar termasuk pelanggan dan pembekal.

Bagi jabatan kerajaan misalnya, proses membuat keputusan akan lebih berkesan jika pengerusi jawatan kuasa dilihat mempunyai daya pengaruh atau ‘aset’ likability yang tinggi apatah lagi dihormati. Bagi syarikat yang berasaskan keuntungan, imej dan reputasi syarikat akan meningkat di mata pelanggan dan pemegang saham sekiranya pengarah syarikat bijak mengurus hubungan pelanggan dan pemegang taruh syarikat.

Penulis pernah mengikuti Kursus Atas Talian anjuran COURSERA di bawah penyedia modul Michingan University. Kursus bertajuk How to Network: Leading Yourself before Leading Others’. Ia membincangkan kaitan langsung di antara jaringan dan kepimpinan. Pensyarah di dalam kuliah bersiri tersebut sangat menekankan peri pentingnya seseorang ketua itu jelas dengan tujuannya pada tahap peribadi sebelum dia mengetuai organisasi. Kuliah tersebut turut menegaskan memiliki skil tertentu adalah penting buat seseorang ketua demi menjaga hubungan baik dengan pihak-pihak yang berurusan dengan firma.

Penulis memerihalkan hal ini dalam buku pertamanya yang berjudul, ‘The Art of Impactful Networking: Strategi Praktikal Membina Jaringan untuk Kejayaan Profesional dan Peribadi’ (2023) dengan berkongsi naratif,

“Gaya kepimpinan dan pengaruh bagi seorang ketua atau pimpinan yang
memiliki rangkaian networking yang besar dan berkualiti akan membina
pasukan kepimpinan lapisan baharu demi meneruskan
legasi kepimpinan sedia ada”

Penulis gembira apabila penyataan di atas telah dipetik oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan ketika menyampaikan ucapan dalam satu acara seminar di Sarawak. Ia benar-benar satu penghormatan buat penulis sekaligus menggambarkan akan kepentingan pimpinan organisasi itu menguasai ilmu daya pengaruh untuk memimpin dengan memiliki jaringan yang besar dan juga berkualiti.

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak