Title: Kemahiran Modal Sosial

Petikan dari Bab dan disesuaikan dari Buku Pertama Penulis: ‘The Art Impactful Networking (2023)

Kebelakangan ini umum lebih kerap berbincang tentang ‘real skill’ berbanding dengan ‘soft skill’. Kemahiran sebenar yang amat diperlukan dalam zaman yang semakin canggih dan berteknologi. Terkini, pengamal bidang sumber manusia mula menggunakan ‘Essential Skill’.

Menurut pakar perniagaan dan penulis tersohor, Puan Ainon Mohd, seseorang itu dianggap telah mula memiliki modal sosial ini dalam tiga (3) keadaan yang berikut:

  1. Tangga sosial
  2. Tangga ekonomi
  3. Tangga kerjaya

Seseorang itu akan dianggap ada modal sosial apabila diberi gelaran tertentu di dalam masyarakat. Apabila kita menerima anugerah dari YM Tuanku Sultan misalnya, anugerah seperti Dato atau Dato Seri itu akan memberi seseorang itu satu bentuk modal sosial. Modal yang akan diberi tempat di dalam masyarakat bahkan diberi penghormatan di dalam sapaan mahupun majlis dan acara. Seseorang dengan gelaran kehormat sebegini akan menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung dari anugerah sebegini.

Modal sosial juga diperoleh tatkala seseorang itu dilihat memiliki kekayaan atau harta yang banyak dan diberi tempat di dalam komuniti atau masyarakat di atas kekayaannya itu. Dia akan kerap ditemui bagi tujuan sumber dana atau sumbangan. Makanya, harta dan kekayaan seseorang yang lazimnya dinilai dari apa yang terkelihatan seperti rumah atau kereta mewah akan menyebabkan dia dianggap ada modal sosial berbentuk ekonominya.

Manakala bagi seseorang yang berkerjaya pula, apabila diberi kenaikan pangkat seperti dari seorang kerani menjadi seorang pegawai, makanya modal sosial yang diperolehi berbentuk tangga kerjaya yang dicapai dan dianggap cemerlang. Jika dahulunya seorang pegawai rendah, apabila diberi amanah menjadi ketua unit atau ketua jawatan kuasa tertentu, makanya nilai keperibadiannya di mata rakan-rakan sekerja akan menaik dan diberi penghormatan atas modal sosial berbentuk kenaikan pangkat tersebut.

Modal-modal sebegini adalah satu nilai tambah yang penting bagi mendepani suasana yang semakin canggih dan berasaskan teknologi.

Seorang usahawan yang berkemahiran tinggi dari segi kekompetenan teknikal misalnya disertai pula dengan modal sosial yang tinggi dan baik akan mendapat tempat tinggi dan dimuliakan orang lain. Seorang penjawat awam contohnya yang memiliki MPA atau Master in Public Administration dari Harvard Business School yang berprestij tinggi itu akan mampu pergi jauh dari segi kerjayanya apabila sering mendapat tempat di dalam komuniti setempatnya dek kerana memilik modal sosial yang tinggi. Beliau akan disukai dan lebih mudah mempengaruhi orang lain apabila dianggap berkelayakan dan berkemahiran serta dilengkapi pula dengan sikap dan adab sopan santun dengan orang lain.

Ibaratnya, jika kita memiliki kedua-dua kelebihan iaitu kelayakan pendidikan yang tinggi diiringi dengan kemahiran berbual-bual dan menyantuni yang juga tinggi akan lebih mudah diterima oleh penyelianya dan seterusnya menerima kenaikan pangkat yang diinginkan.

Bagaimana kita perkukuhkan kefahaman kita bahawa menguasai kemahiran bermodalkan modal sosial ini akan benar-benar membantu kita dalam membina jaringan yang kuat dan kekal berpanjangan?

Titah DiRaja YAM Sultan Perak di dalam satu majlis di Universiti Malaya pada Feb 2023 berkenaan kepimpinan universiti menitahkan dengan jelas bahawa kemahiran yang semakin penting dan harus diperkukuhkan adalah kemahiran melibatkan soft skill. Ia bukan sahaja melibatkan para graduan bahkan setiap anggota penyelidik dan akademia serta kepimpinan menara gading harus menguasai kemahiran-kemahiran seperti berfikiran ke hadapan, tangkas (agility), berfikiran analtikal dan kritikal serta mengurus perbezaan pendapat (opposing views).

Makanya, di dalam proses menyediakan mapping atau pemetaan di dalam membina jaringan, mengenali dan seterusnya menguasai modal-modal sosial ini akan membantu perjalanan yang panjang. Ia pula tidak hanya tertakluk kepada tiga (3) bentuk modal sosial yang disebutkan terdahulu iaitu tangga sosial, ekonomi atau kerjaya. Ia mencakupi pelbagai lagi bentuk kemahiran seperti kemahiran berbual-bual, mendahulukan orang lain sehinggalah kepada kemahiran mendengar yang baik.

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak