Title: Mendengar & Mendorong Diri Sendiri: Kenali Diri

Petikan dari Bab dan disesuaikan dari Buku ke-2 Penulis: ‘The Art of Self Leadership’ (2024)

Apabila kita mengenali dan mengiktiraf akan kepentingan mendengar untuk memahami ini adalah satu kemahiran penting bagi seorang pemimpin, bagaimana ianya harus dialihkan kepada diri sendiri? Adakah ia bermakna kita, sebagai individu, harus berbual seorang diri dan mendengar akan apa yang kita sembangkan? Ia tentu akan kelihatan pelik, bukan?

Mengetahui akan kekuatan dan ruang penambahbaikan bagi diri sendiri adalah satu kaedah untuk setiap individu mula ‘mendengar’ akan keperluan masing-masing peribadi. Jika kita bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan misalnya, doktor akan membuat pemeriksaan dengan bertanyakan soalan-soalan yang hanya pesakit sahaja boleh memberikan jawapan.

Bahkan, dalam keadaan tertentu, doktor akan berikan skala 1-10 misalnya untuk membantu pesakit menerangkan tahap kesakitan yang dialami. Ia memudahkan doktor menyiasat lanjut tahap masalah sebelum doktor atau ahli farmasi memberikan ubat yang sesuai. Tanpa maklumat tersebut, agak sukar doktor memberikan nasihat dan prosidur selanjutnya. Pesakit yang memberikan skala 2 dari 10 dari segi tahap kesakitan akan menerima ubat tertentu berbanding dengan pesakit yang berada di tahap 8 dari 10. Dalam kes kedua, doktor atau perawat lazimnya akan syorkan pesakit dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut.

Dalam kepesatan teknologi ketika ini dan ‘speed’ atau kepantasan dalam serba serbi menjadi bahasa utama, ramai akan terlepas peluang untuk benar-benar mengenali akan kelebihan dan kekurangan diri. Ibaratnya, ramai yang akan terlepas peluang untuk mendengar apa yang setiap individu itu perlukan. Masa peribadi atau ‘me-time’ kini bersaing dengan ‘gadjet-time’ atau ‘their time’. Kini ia tentang masa ‘mereka’.

Makanya, memberikan masa untuk mendengar apa yang setiap dari kita perlukan harus dijadualkan. Apabila kita sebagai individu; seorang bapa, anak, jiran, ketua jabatan mahupun sebagai seorang hambaNya, telah ketahui dan mendengar serta memahami akan kelebihan dan kekurangan, nescaya peluang untuk menjadi lebih baik akan lebih cerah. Apabila adanya ‘clarity’ (kejelasan) atau tujuan dan keperluan yang jelas, akan jelas ula gerak kerja dan aktiviti seterusnya.

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak