Apakah kaitan penting jenama dengan topik kepimpinan?
Beberapa tanggapan atau mitos kepimpinan telah wujud sekian lama menurut penulis buku bidang kepimpinan terkenal, Dr John C Maxwell di dalam bukunya ‘How to Lead When Your Boss Can’t’ (or won’t). Ianya termasuk yang berikut:
- Menjadi ketua perlukan nama jawatan (misalnya, Ketua Unit atau Pengarah/Pengasas)
- Seseorang akan dapat melaksanakan tugas tertentu hanya apabila menjadi seorang ketua (misalnya, apabila diberi skop kerja di dalam surat lantikan)
- Saya akan hanya ketahui apa yang saya boleh & mampu lakukan apabila saya dilantik sebagai seorang ketua.
Penulis pernah menghadiri satu kuliah umum yang disampaikan oleh tokoh kepimpinan dan penulis berasal dari Kuwait, Dr Tareq al-Suwaidan. Beliau yang telah menulis lebih 125 buah buku dan tersenarai di kalangan 500 Individu Muslim Berpengaruh di dunia menyatakan dalam memberi takrifan seorang ketua sebagai:
‘The ability to move your followers towards goals’
[keupayaan seseorang untuk menggerakkan pengikutnya bagi mencapai satu-satu sasaran]
Apa yang menarik di dalam kupasan beliau adalah kaitan langsung tentang keupayaan atau ‘ability’ tersebut dengan modal peribadi yang dinamakan jenama peribadi (personal branding)
Menurut seorang pakar penjenamaan yang juga seorang Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Suharni Maulan, apabila ditanya tentang jenama dan penjenamaan menjelaskan bahawa kepimpinan, jenama peribadi (personal brand), dan organisasi sebenarnya adalah saling bergantung dan tidak terpisah.
Sebagai contoh, pempengaruh terkenal Malaysia, Khairul Aming mempamerkan sinergi ini melalui jenama peribadi yang kukuh dan positif. Perkongsian beliau bukan sekadar memaparkan kemahiran memasak malah terserlah sifat kepimpinan beliau sebagai majikan yang prihatin dan menghargai staf.
Jenama peribadi yang positif ini bukan sahaja menarik bakat yang berkongsi nilai yang sama, bahkan membina budaya organisasi yang sihat, sekali gus mengukuhkan reputasi perniagaan beliau.
Akhirnya, kepercayaan yang dibina terhadap pemimpin ini secara semulajadi dipindahkan kepada kualiti produk dan perkhidmatan, lantas menjadi pemacu utama kesetiaan pelanggan serta kelebihan daya saing yang sukar digugat oleh pesaing.
Satu pesanan bijak pandai,
‘Leaders must be willing to be led‘
[Seorang pemimpin harus sedia untuk dipimpin]
Memberikan contoh melalui keperibadian yang baik merupakan satu simbol penting mencerminkan ‘keperibadian’ dan jenama organisasi.
Pada pandangan penulis, menjaga dan membina jenama peribadi yang baik dan cemerlang merupakan satu ‘ability’ atau keupayaan seseorang ketua itu.
Bukankah, masing-masing peribadi adalah seorang ketua kepada masing-masing diri?
Oleh :
Hj Syamsul Amri A Razak
Prof Madya Dr Suharni Maulan