Title: Ketua Sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (Chief Marketing Officer)

[Bacaan 3 minit]

Secara berseloroh, seorang CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif juga digelar Chief Everything Officer. Ibaratnya ketua bagi segala ketua yang ada di dalam organisasi. Jika di dalam perkhidmatan awam, orang nombor satu digelar Ketua Pengarah atau ketua bagi sejumlah Pengarah-pengarah yang ada di dalam Jabatan tersebut. Lagi besar jabatan tersebut maka lagi tinggi Gred Perjawatan seorang Ketua Pengarah.

Apakah yang boleh dimaksudkan dengan ‘everything’ di atas? Adakah secara ‘literal’ atau maknawi, ia bermaksud segala sesuatu dan termasuk memasarkan produk dan serbis ditawarkan oleh organisasi?

Fungsi seorang Ketua Perkhidmatan atau Ketua Organisasi bukan hanya memimpin pasukan bahkan ia meliputi menentukan dan membawa organisasi ke sasaran yang dipersetujui oleh pemilik organisasi mahu pun pihak-pihak yang berkepentingan terhadap organisasi tersebut.

Memetik satu karya bertajuk “Leadership: Theory & Practice” (2016) Peter G Northouse, ‘..primary function of leadership is to produce change and movement. Tugas utama seorang pimpinan adalah untuk menghasilkan perubahan dan menggerakkan perubahan tersebut.

Umumnya, firma atau syarikat berasaskan jualan akan mewujudkan satu unit atau jabatan khas yang menguruskan hal ehwal pemasaran dan promosi. Penulis secara peribadi terlibat di dalam bidang jualan dan pemasaran serta mengendalikan tim jualan dan pemasaran memahami akan KPI atau sasaran dengan nombor jualan atau kolaborasi yang dimeterai. Ia bukan hanya tentang ‘meeting the numbers’ (memenuhi sasaran), ia tentang mengurus hubungan perorangan (interpersonal) di dalam pasukan. Ia meliputi memahami dan menguasai pasaran (market outlook) serta kumpulan pelanggan yang berurusan.

Pakar bidang pemasaran dan penjenamaan yang juga Pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM, Prof Madya Dr Suharni Maulan menjelaskan bahawa pemasaran pada hakikatnya adalah aktiviti penciptaan nilai (value creation) yang holistik, bukannya sekadar fungsi khusus dalam jabatan pemasaran semata-mata.

CEO sewajarnya dianggap sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) yang utama kerana beliau memegang tanggungjawab tertinggi dalam menentukan visi, budaya, dan hala tuju strategik yang membentuk persepsi jenama di mata khalayak.

Sebagai arkitek utama organisasi, CEO berperanan menyelaraskan setiap jabatan supaya seiring dengan matlamat penciptaan nilai pelanggan, sekali gus memastikan imej syarikat dan prestasi keseluruhan sentiasa mencerminkan janji jenama tersebut.

Ini membuktikan bahawa pemasaran bukanlah sekadar fungsi jabatan kerana kejayaan dan prestasi sesebuah syarikat akhirnya bergantung kepada hala tuju strategik pihak pengurusan atasan.

Menggalas tugas sebagai orang terpenting di dalam organisasi tidak hanya terhad kepada bidang tugas (scope of work / Job Description) yang tersurat di dalam Surat Lantikan. Ia melangkaui dari apa yang tersurat.

Justeru, tiga langkah utama perlu dilakukan oleh seseorang pimpinan organisasi:

  1. Menguasai ilmu kepimpinan dan pengurusan dengan memilih bahan bacaan berkualiti serta menghadiri sesi perbualan bernilai tinggi berkaitan topik kepimpinan dan pengurusan,
  2. Memahami dan memperkaya ilmu kemahiran pemasaran dan promosi; dan
  3. Menambah kualiti jaringan sedia ada serta menyertai dengan lebih kerap acara-acara yang akan menaikkan jenama dan keberadaan (visibility) organisasi.

Intiha, bukankah setiap dari kita sebagai individu merupakan duta kecil kepada diri, keluarga, komuniti dan organisasi serta, pada setiap masa, mewakili dan mempromosi setiapnya?

Oleh :
Hj Syamsul Amri A Razak
Prof Madya Dr Hjh Suharni Maulan