Ilmu pemasaran sering dikaitan dengan teori 4P iaitu Product, Place, Price & Promotion. Bagi produk yang dipasarkan berasaskan perkhidmatan, pakar pemasaran menambah tiga P iaitu Physical Evidence, Process & People. Bagaimanapun, artikel ini tidak bercadang untuk mensyarahkan teori yang telah tersedia ini. Apa yang ingin diketengahkan adalah sama ada jaringan (networking) juga boleh termasuk di dalam takrifan 4P?
Pepatah pengamal bisnes ada mengatakan,
‘If content is King, Connection is the Queen. Database is the KINGDOM’.
Ia mencadangkan bahawa kemahiran, penguasaan dan kepakaran seseorang itu dianggap konten atau produknya. Penguasaan bidang ini dianggap sebagai Raja. Tanpa jaringan yang berkualiti dan kukuh, maka si Raja itu tidak ditemani oleh Pemaisurinya iaitu ‘the Connection’. Kerajaan bagi kedua-dua Raja & Permaisuri ini adalah maklumat dan kekuatan pengkalan data organisasi, senarai pelanggan dan hubungan baik dengan pihak-pihak yang berurusan dengan syarikat tersebut. Ini sebagai misalan sahaja namun saya percaya ia mudah difahami.
Petikan dari laman sesawang Perbadanan Usahawan Nasional Berhad atau PUNB, sebuah Syarikat yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan tujuan meningkatkan penyertaan dan penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan,
“Hubungan dalam perniagaan merujuk kepada jaringan interaksi dan kerjasama antara pelbagai pihak yang terlibat dalam aktiviti perniagaan. Ini termasuk pelanggan, pembekal, pekerja, pelabur, rakan kongsi, serta pihak berkepentingan lain seperti pihak kerajaan dan komuniti. Hubungan yang baik dalam perniagaan adalah penting kerana ia dapat meningkatkan kepercayaan, memperkukuh reputasi syarikat dan memperbaiki kualiti perkhidmatan atau produk yang ditawarkan.
Jelas dinyatakan peri pentingnya organisasi dan syarikat meletakkan keutamaan dalam aspek membina, menjaga dan memperbaiki secara berterusan hubungan baik dengan pihak-pihak yang ia berurusan.
Justeru, ‘networking’ boleh dikonseptualisasikan sebagai ‘produk’ dalam kerangka 4P apabila ia dipakejkan sebagai tawaran nilai yang unik, merangkumi akses kepada hubungan, kepercayaan, dan sumber strategik yang memenuhi keperluan rakan niaga atau pelanggan. Dalam konteks ini, kualiti hubungan yang dibina berfungsi sebagai spesifikasi produk yang perlu diselenggara agar sentiasa relevan dan bermanfaat, di mana ‘pengguna’ atau rakan dalam rangkaian memilih untuk berinteraksi dengan sesbuah perniagaan bukan kerana komoditi fizikal, tetapi kerana nilai tambah dan kredibiliti yang ditawarkan. Dengan menganggap ‘networking’ sebagai produk, seseorang usahawan sebenarnya sedang membina aset sosial yang mampu membezakan diri mereka di pasaran, sekali gus menjadikan kepercayaan dan akses sebagai komoditi bernilai yang mampu menjana pulangan dalam bentuk kolaborasi serta peluang perniagaan yang mampan.
Akhirnya, apakah kaedah mudah bagi memastikan ‘Kerajaan’ (kingdom) ini terpelihara bukan sahaja di pihak Tim Jualan dan Pemasaran, bahkan sehingga ke peringkat pimpinan utama organisasi seperti CEO atau Pengarah?
Tiga syor utama yang boleh dipertimbangkan adalah seperti berikut:
- Jangan sekadar menyimpan data demografi (nama, emel, nombor telefon) dalam pangkalan data atau rekod anda. Untuk mengukuhkan ‘Kingdom‘, anda perlu menyuntik ‘Connection‘ ke dalamnya dengan merekodkan konteks hubungan.
- Jadikan aktiviti networking sebagai ejen utama untuk membina dan memperkaya ‘Kingdom‘ anda. Ramai usahawan membuat networking secara rawak tanpa menyambungkannya ke pangkalan data, menyebabkan peluang hilang begitu sahaja.
- Segmenkan pangkalan data anda berdasarkan kedalaman hubungan untuk membolehkan strategi komunikasi yang lebih peribadi dan berkesan mengikut tahap hubungan. Dengan ini anda sedang ‘menjaga’ Kingdom agar sentiasa subur, aktif, dan bersedia untuk memberikan pulangan nilai (Conversion) apabila tiba masanya.
Kesimpulannya, apabila produk anda (networking) menjadi rujukan utama bagi pelanggan, ia bukan lagi sekadar aktiviti sosial, tetapi menjadi satu ‘jenama’ yang dipercayai, yang mana database (Kingdom) anda kini berfungsi sebagai aset yang paling berharga.
Oleh :
Hj Syamsul Amri A Razak
Prof Madya Dr Hjh Suharni Maulan