Title: From Network To Net Worth

Kepimpinan Diri, Networking, dan Nilai Manusiawi dalam Dunia Moden

[Bacaan 2 Minit]

Artikel Khas sebagai ulasan Sesi Audio Siar (podcast) Bersama Pakar Psikologi Dr Nazrul Azizi di DNA Podcast yang disiarkan pada 25 April 2026. Beliau yang juga pengamal bidang psikologi dan merupakan Pensyarah di UNiKL turut mengendalikan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) khususnya melibatkan Kesihatan Mental (mental wellness).

Persediaan bagi sesi Audio Siar ini perlu berbeza apabila ia dikendalikan oleh seorang Pakar Psikologi. Platform DNA Podcast ini juga telah beroleh sambutan yang sangat baik. Setakat artikel pendek ini ditulis, Sesi Audio Siar berkenaan telah meraih lebih 40 ribu tontonan.

Meskipun Hos, Dr Nazrul telah menyediakan set soalan sebagai panduan, namun bagi yang menulis buku-buku yang akan dibedah, ia seakan tidak puas jika hanya berbual seputar soalan yang diberikan. Bukankah memberi nilai tambah atau memberi sesuatu melebihi daripada apa yang diperlukan adalah satu kebaikan?

Perbincangan boleh dibahagikan kepada tiga blok iaitu bertemakan kepimpinan kendiri dan diikuti dengan jaringan (networking) dan disempurnakan dengan aplikasi serta penyesuaian di lapangan. Buku-buku tulisan kami dijadikan premis perbualan di sepanjang sesi.

Pengenalan terhadap konsep kepimpinan kendiri diangkat dan disulami dengan pencontohan mudah. Misalnya, konsep hakikat dan tujuan penciptaan insan itu pada pandang sisi Islam haruslah melebihi sebarang jua sasaran duniawi yang lazim didengari. Tanpa sedikitpun mengurangkan kepentingan & keperluan duniawi, meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya atau adil itu sewajarnya bermula pada masing-masing diri. Bahkan, adil itu juga akan berakhir pada masing-masing diri jika ia tidak dijaga sebaiknya.

Hos kemudian mengemukakan persoalan relevan tentang kefahaman dan kepentingan jaringan pada kaca mata umum dan khususnya bagi pendiri bisnes dan penjawat awam. Memetik bab pengenalan di dalam HBR Guide to Smarter Networking (2022), ia menyebut tentang tanggapan lazim berkenaan ‘networking’,

“..research shows that even just thinking about it makes some people feel unclean’.
[Kajian menunjukkan bahawa tanggapan tentang jaringan itu sendiri menyebabkan sebahagian orang berasa tidak selesa].

Sesi ini ingin meletakkan tanggapan dan takrifan jaringan itu bukan sekadar menerima manfaat atau pulangan. Yang lebih adil adalah, seperti yang ditunjukkan oleh Insan Agung Baginda Nabi SAW, ia adalah tentang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Bukankah itu juga pesanan Baginda SAW bahawa ‘orang yang baik itu adalah yang memberi manfaat kepada orang lain’ (HR Ahmad).

Perbincangan turut mengenengahkan faham bahawa ia bukanlah sesuatu yang hadir secara sendiri atau ‘by default’, bahkan ilmu membina, menjaga dan meneruskan jaringan ini boleh dan perlu dipelajari serta dikuasai oleh setiap daripada kita yang hidup berkomuniti dan saling memerlukan di antara satu sama lain.

Menyesuaikan kefahaman tentang kepimpinan kendiri dan peri penting membina dan menjaga jaringan ini (silaturrahim) merupakan pelengkap ekosistem kehidupan yang diasaskan kepada kefahaman benar tentang tujuan dan maqasid penciptaan insan itu.

Adalah diharapkan agar sesi Bual Bicara Ilmiah sebegini diteruskan di masa hadapan demi meningkatkan kefahaman yang benar dan pasti (real & truth) agar kejelasan ini (certainty) akan akhirnya menerbitkan ketenangan dan kebahagiaan di dalam kehidupan setiap dari kita.

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak
(4 Mei 2026)