ARTIKEL KHAS
BERSEMPENA MAULID RASUL 1448H BERSAMAAN TAHUN 2026
Madani Dihayati, Ummah Diberkati
Insan Agung Baginda Nabi SAW berpesan supaya berkatalah baik atau diam.
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat,
maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
[Riwayat al-Bukhari (6018)]
Sumber: Laman sesawang Mufti WP (https://muftiwp.gov.my/)
Berjeda.
Semakan di laman sesawang Oxford University Press yang secara aktif menjalankan survei setiap tahun secara global bagi pemilihan istilah (Word of The Year) menunjukkan istilah ‘rage bait’ dipilih sebagai istilah pilihan tahun 2025. Istilah ini memberi makna bahawa seseorang itu menulis terutama di media sosial bagi menimbulkan kemarahan atau rasa tidak selesa orang yang membaca.
Pada tanggapan Penulis, jika istilah itu benar-benar menjadi petunjuk, dunia sedang dilanda masalah jiwa yang serius. Ia semakin jelas terkelihatan hampir di mana-mana dan melibatkan pelbagai peringkat usia dan tahap kedudukan seseorang itu.
Misalnya, kedengaran mereka yang berusia mahupun yang masih di bangku sekolah atau pengajian yang menggunakan kata-kata tidak enak didengar ketika berbual. Pernah juga Penulis diberitahu oleh seorang kenalan bahawa seorang Pengerusi sebuah syarikat milik sebuah IPT yang kerap menggunakan kata-kata kesat ketika bermesyuarat. Ini seharusnya tidak berlaku terutama melibatkan seorang individu yang mengimani akan pesanan Nabi SAW.
Khutbah Terakhir 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah.
Penulis memilih untuk menukilkan petikan pesanan Baginda di dalam Khutbah Terakhir Baginda yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah Gunung Arafah. Khutbah yang padat dengan pesanan dan nasihat. Di akhir kalam, Baginda mengatakan:
“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapan Ku menyampaikan pula kepada orang lain dan
hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain”
Pesanan ini memberi maksud bahawa berkongsi apa jua kebaikan itu meskipun hanya sepotong ayat seperti memberi senyuman kepada saudara yang lain adalah suatu yang perlu terus dilakukan.
Pesanan agar kebaikan itu ditularkan atau dipanjangkan pula kepada yang lain turut dititipkan Baginda sejak lebih 1400 tahun lalu. Ibaratnya, menularkan satu satu kebaikan itu merupakan suatu yang dianjurkan agama. Ianya mudah dan murah.
Misi Menyampaikan Hanya Yang Baik.
Bersesuaian dengan apa yang dipesan oleh Insan Agung SAW bahawa berkata yang baik itu dipadankan dengan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, meletakkan setinggi-tinggi azam untuk hanya menulis dan berkata-kata tentang apa yang baik sahaja harus dijadikan agenda peribadi setiap hari.
Di dalam keadaan di mana masyarakat sedang benar-benar diuji dengan ‘trust deficit’ atau kemiskinan kepercayaan, perlu wujud di kalangan umat Nabi SAW segolongan yang terus-terusan mengangkat perbualan yang baik, berbual tentang hal yang baik, menjauhi perkara yang tidak berkenaan serta menggalakkan pula
masing-masing diri, ahli keluarga mahupun kejiranan dan warga kerja di tempat kerja agar mengutamakan kata-kata yang baik di dalam kehidupan.
Kata-kata yang baik bukan hanya bermaksud kata-kata dorongan dan pujian semata-mata. Ia harus meliputi memberi nasihat yang baik secara betul dan mampu untuk berdiam jika perkara berkenaan tidak terkait dengan dirinya. Terkadang, satu-satu nasihat yang baik apabila disampaikan dengan cara yang tidak betul akan mengakibatkan nasihat yang baik akan bertukar kepada sesuatu yang dijauhi.
Bersempena Sambutan Maulid Rasul Tahun 1448H Tahun 2026, Penulis menyeru kepada diri dan para pembaca agar berhati-hati ketika berkata-kata dan menulis.
Mengimani akan pesanan Nabi SAW itu merupakan satu titik tolak untuk kita memakmurkan muka bumi ini dengan kebaikan dan kasih sayang seperti mana dianjurkan oleh Islam.
‘Allahumma Solli ‘ala Muhammad’
Salam Maulidur Rasul.
25 Ogos 2026
12 Rabiul Awwal 1448H
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak
