Title: Budaya Melayu Tinggi Sebagai Alat Kerja Dalam Berorganisasi

Budaya Melayu tinggi harus dianggap sebagai satu keistimewaan buat orang Malaysia amnya dan orang Melayu khususnya. Ia tidak lagi sekadar sesuatu yang diambil maklum dan dipandang sepi terutama di zaman kini yang sangat bergantung dengan teknologi. Ia satu sumber kekuatan yang harus dikuasai semula dan diaplikasi di dalam kehidupan seharian baik di tempat kerja mahu pun di dalam kehidupan peribadi.

Bahasa Sebagai Alat Kerja

Pendita Zaaba atau nama penuhnya Hj Zainal Abidin bin Ahmad (m.1973) berpesan di dalam Ilmu Mengarang Melayu (1934) bahawa;

‘..bahasa itu alat mengeluarkan fikiran..sebab itu bila mengarang wajiblah dihati-hatikan benar apa ertinya perkataan-perkataan yang dipakai di dalamnya..’.

Beliau mengingatkan lagi bahawa;

‘…tujuan mengarang itu yang sebenarnya ialah hendak supaya orang yang membaca faham dan tahu akan fikiran dalam hati pengarang..’.

Perhatikan bagaimana Zaaba mengingatkan kepentingan bahasa sebagai satu kaedah menyampaikan maklumat yang betul dan ia harus diuruskan dengan berhati-hati. 

Bagi menjelaskan lanjut pesanan ini, Penulis mencadangkan pendekatan ‘Tiga T’ iaitu ‘Acceptability, Ability & Likability. Ia bermaksud jika seseorang itu ingin diterima (acceptability) di dalam organisasi, ia harus memiliki keupayaan atau kemahiran (ability) dan pada masa yang sama memiliki daya pengaruh (likability). Menggunakan bahasa yang betul adalah satu cara mudah bagi menaikkan daya pengaruh seseorang terutama seorang Ketua. Penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) boleh menaikkan kredibiliti dan kebolehpercayaan seorang ketua terhadap anak buah yang dipimpin. Seseorang ketua atau individu yang berkemahiran akan lebih mudah diterima dan cakapnya didengar jika pada masa yang sama memiliki daya pengaruh. 

Adab Halus Orang Malaysia

Kita di negara ini dikurniakan kepelbagaian dari segi budaya dan amalan kehidupan beragama. Ini juga harus dilihat sebagai satu kekuatan sedia ada dan harus dimanfaatkan sebaiknya. Namun, bahasa dan budaya yang baik jelas boleh menjadi faktor penyatu di dalam komposisi masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Selain daripada BMT, simbol-simbol kesantunan yang lain juga memainkan peranan penting seperti budi bahasa dan kesopanan yang tinggi dan kaedah menulis dan mengirimkan teks pesanan secara aplikasi SMS atau WhatssApp dengan bahasa yang sempurna berbanding bahasa kontot atau bahasa basahan. Ia sebagai tanda memuliakan si pendengar atau penerima mesej dan ini adalah antara alat kerja mudah dalam berorganisasi. Sesiapa sahaja tidak mengira bangsa dan budaya akan berasa dihormati dan disantuni apabila BMT dan budaya yang baik diamalkan di dalam organisasi baik di sektor perkhidmatan awam mahu pun swasta.

Oleh :
Hj Syamsul Amri A Razak