Title: Gaya & Daya Pemasaran Waktu Sukar

Ketika artikel pendek ini ditulis, dunia masih memerhati konflik perang yang berlaku di antara Iran dan pakatan pengganas Amerika dan sekutunya Israel. Semakin lama konflik dan penjajahan itu berlaku, semakin resah seluruh warga rantau dan dunia mendepani masa depan dengan kenaikan harga yang dijangka akan berlaku. Negara kita, Malaysia tidak terkecuali.

Cuplikan dari ucapan YAB Perdana Menteri pada 1 April 2026 dalam menjelaskan krisis melanda dan dipetik di laman sosial beliau; 

“Konflik di Asia Barat yang berlarutan kini mula memberi kesan nyata kepada rantaian bekalan global, khususnya tenaga. Walaupun Malaysia masih bertahan berbanding negara lain, hakikatnya kita sedang berdepan satu fasa baharu yang amat mencabar. Situasi ketika ini bukan lagi keadaan seperti biasa. It is no longer business as usual”

Bagi komuniti perniagaan dan pendiri bisnes khususnya, apakah yang perlu difahami?

Pensyarah Kanan dan juga seorang Konsultan Pemasaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Suharni Maulan menjelaskan pandangan beliau bahawa situasi ketegangan geopolitik ini mewujudkan persekitaran yang tidak menentu (volatile) bukan sahaja dari segi pasaran saham dan rantaian bekalan, tetapi juga dari segi psikologi pengguna. Pengguna bukan lagi sekadar membeli produk atau perkhidmatan, tetapi kepastian. Justeru, kepercayaan menjadi ‘matawang’ yang sangat penting kerana secara psikologi, pengguna akan memilih bisnes yang dipercayai bagi mengurangkan risiko kerugian seperti produk tidak sampai, kualiti rendah, atau perkhidmatan tergendala. Pengguna lebih sanggup membayar lebih sedikit untuk jenama yang mereka percayai berbanding mencuba sesuatu yang tidak pasti di tengah suasana yang tidak menentu.

Bukan hanya berharap dan menanti bantuan atau insentif dari Kerajaan, tiga langkah utama perlu dimulakan dan dilaksanakan demi mendepani waktu sukar sebegini.

  1. Menambah jaringan (networking) sedia ada dan menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan rakan bisnes sedia ada. Ini kerana sewaktu krisis, “modal sosial” boleh jadi jauh lebih bernilai daripada modal kewangan semata-mata dalam membina kepercayaan terhadap jenama.
  2. Mengambil pengajaran dari krisis yang berlaku termasuk dari segi strategi bisnes, mewujudkan rantaian perniagaan yang lebih mapan dan mampan di masa hadapan
  3. Meningkatkan semangat kolaborasi dan saling menjaga bagi membolehkan penggabungan sumber dan membina daya tahan secara kolektif untuk mengharungi ketidakpastian pasaran 
  4. Fokus kepada bagaimana produk atau perkhidmatan anda boleh membantu mengurangkan beban atau memudahkan urusan pelanggan di waktu ekonomi yang mencabar. Apabila pengguna melihat jenama anda sebagai telus dan mempunyai empati, kepercayaan mereka akan bertambah.

Intiha, bak pesanan bijak pandai, ‘Don’t waste the crisis’ (Usah disia-siakan krisis yang melanda) ada benarnya. 

Bukankah setiap yang berlaku itu bersamanya ada pelajaran dan hikmah yang boleh dipelajari?

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak
Prof Madya Dr Hjh Suharni Maulan