Petikan dari Bab dan disesuaikan dari Buku ke-2 Penulis: ‘The Art of Self Leadership’ (2024).
Kamus menakrifkan karismatik sebagai:
‘a person who possesses special traits that attract, inspire, or fascinate other people’ [merriam-webster]
[seseorang yang berkarisma itu apabila memiliki kelebihan tertentu yang menarik,
memberi inspirasi atau menarik minat orang lain]
Manakala, menurut Kamus DBP, kredibel memberi makna ‘sifat yang boleh dipercayai dan diyakini’.
Kedua-dua kalimat besar ini, bagi pandangan penulis, mencorakkan keperibadian seseorang itu untuk memimpin dirinya dan orang lain. Ia boleh menentukan saiz dan gaya kepimpinan seseorang itu.
Adakah Ia Tentang Keterampilan Luaran?
Adakah takrifan karismatik tertumpu hanya kepada keterampilan & cara pemakaian seseorang itu? Apakah faktor lain, jika ada yang perlu dimasukkan sebelum seseorang itu akan dianggap seorang yang berkarismatik & berkredibiliti?
Penulis membaca naskhah yang bagus ditulis secara bersama oleh tokoh & pakar motivasi terkemuka di negara ini, Dato Dr Mohd Fadhilah Kamsah bersama seorang pemikir, penulis & futuris, Tuan Ahmad Naim Jaafar di dalam buku mereka yang bertajuk “Anda Berkarisma Apabila..?” (Tahun 2005)
Menurut mereka, beberapa ciri utama seseorang itu akan dianggap seorang yang berkarisma dan berkredibiliti dari beberapa situasi termasuk (sekadar memetik beberapa contoh):
- Karisma dalam politik seperti yang ditunjukkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir ketika mentadbir negara melalui wawasan yang beliau gagaskan.
- Karisma bidang Agama atau spiritual seperti almarhum Ust Dato Dr Harun Din yang menjadi tokoh agama yang disegani dan dihormati;
- Karisma dalam bidang intelektual seperti yang ditunjukkan oleh almarhum Prof Di Raja Ungku Aziz melalui karya dan kedalaman ilmunya.
Membincangkan karakter seorang yang dianggap ada karisma dan ada kredibiliti bukanlah sesuatu yang lazim apatah lagi secara umum. Ia mungkin dianggap peribadi dan tidak perlu dihebohkan. Bahkan, jika seseorang itu dilihat tiada karisma atau tidak kredibel, ia juga harus dirahsiakan dan tidak diumumkan kepada khalayak. Ini antara sub-budaya orang Malaysia dan orang Melayu khasnya untuk menjaga air muka atau aib orang lain. Ia juga anjuran agama untuk menjaga maruah seseorang.
Makanya, mengaitkan ciri karismatik & kredibiliti ini, pada pandangan penulis, adalah antara teras penting bagi daya memimpin diri seseorang itu.
Kepentingan Karismatik & Kredibiliti Sebagai Individu: Konteks
Satu pesanan malar segar dari FirmanNya Yang Maha Mencipta bahawa setiap manusia itu dijadikan sebaik-baik ciptaan. Ini jelas disebut di dalam Al Quran surah At Tin 95:4:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya
(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
Jelas bahawa tidak ada kekurangan dalam ciptaanNya Yang Maha Berkuasa. Dialah Yang Maha Membentuk Rupa (al-Musawwir) lagi Maha Menghidupkan (al-Hayyu).
Meyakini & mengimani firmanNya ini sesungguhnya menenangkan jiwa dan rasa. Ia tanda kehambaan kepada Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Ia antara ayat-ayat mendorong dan menaikkan nyala rasa (passion) sesiapa sahaja.
Makanya, tanggapan bahawa seseorang itu diciptakan ‘lebih baik’ dari yang lain harus difahami dengan cermat kerana yang membezakan di kalangan hamba Tuhan hanyalah ketaqwaan atau penyerahan diri kepadaNya sahaja.
Setiap dari kita ini didatangkan dengan pakej karismatik yang unik dan tersendiri. Tidak ada takrifan muktamad tentang siapa yang lebih berkarisma dan siapa yang kurang atau tiada karisma. Seorang Ketua Organisasi akan kelihatan berkarismatik di tempat kerja dan boleh jadi tiada nilai tinggi pula di kalangan keluarga atau kejiranan.
Sebaliknya, seorang terhormat di kampung mungkin seorang biasa-biasa sahaja di tempat kerjanya. Ini bergantung kepada konteks di mana seseorang itu berada dan atas kaca mata apa yang dikenakan oleh orang yang memandang. Secara konteksnya, memiliki daya karismatik kredibiliti adalah penting bagi seseorang terutama bagi seorang ketua atau pemimpin.
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak