Petikan dari Bab dan disesuaikan dari Buku ke-2 Penulis: ‘The Art of Self Leadership’ (2024)
Dikatakan bahawa;
‘Perhaps, the best way to persuade others is by your ears’
[Barangkali, kaedah terbaik meyakinkan orang lain adalah mendengar dengan teliti]
Satu kemahiran penting bagi seorang ketua dan pemimpin, baik ketua bagi organisasi mahupun sebagai ketua komuniti atau sebagai ketua keluarga adalah kemahiran mendengar. Kemahiran yang kadang-kadang dilihat kecil dan remeh meskipun ianya amat penting.
Mendengar & Memahami
Sebagai seorang Coach Bertauliah, kemahiran mendengar untuk memahami adalah satu ‘rukun’ penting bagi penulis di dalam sesi coaching bersama coachee. Seorang Coach perlu menguasai kemahiran untuk mendengar dengan teliti dan tekun apabila berhadapan dan berbual dengan orang lain terutama coachee. Ibaratnya, tiada halangan yang boleh mengganggu tumpuan untuk mendengar dengan teliti.
Kerap kita dapat lihat dua orang yang berbual dan ‘diganggu’ dengan pihak ketiga ini. Pihak ketiga ini boleh jadi seorang yang lain atau gajet yang berada di tangan. Hatta, pakar bahasa telah mendatangkan satu kalimah khas iaitu ‘phubbing’ atau ‘lekafon’ bagi memerihalkan keadaan di mana pihak-pihak yang berbual dan pada masa yang sama leka dan memegang gajet di tangan.
Ia bukan sahaja menjejaskan tumpuan mereka yang berbual bahkan kualiti dan emosi mereka boleh terganggu dek kerana tiadanya tumpuan ketika berbual. Perkara yang dibualkan akan menjadi hambar & tidak dianggap penting oleh pihak-pihak tersebut. Misalnya, si anak akan merasakan ibu atau bapanya yang mendengar cerita si anak sambil melihat gajet ini tidak berminat dan tidak memahami apa yang sedang si anak bualkan.
Tugas Ketua Adalah Mendorong
Ciri penting seorang ketua adalah untuk mendorong dan memberi sokongan kepada mereka yang dipimpin. Aktiviti mendorong ini berdasarkan kepada pesanan bijak pandai yang berbunyi;
“Bahawa setiap orang besar itu harus sentiasa ingat mereka disokong oleh orang-orang kecil”.
Tidak ada ‘orang besar’ atau mereka yang berpangkat dan berjawatan itu mampu menjayakan apa jua usaha tanpa adanya mereka yang mendampingi dan memberi sokongan sama ada ia secara rasmi mahu pun secara tidak formal. Ini termasuklah Ketua Negara atau negeri, Ketua Jabatan, Ketua komuniti sehinggalah ketua keluarga. Terkadang, sokongan sosial atau social support boleh datang dalam keadaan yang kita tidak ketahui seperti sokongan kumpulan berbentuk suasana kerja yang baik & kondusif. Sekitaran di tempat kerja yang menenangkan dan memberi ruang untuk pekerjanya berkarya, berfikir, berehat dan membuat keputusan yang betul.
Suasana sekitaran di rumah mahu pun di tempat kerja sebegini yang menyokong aktiviti menjana idea (ideation process) berlaku dengan baik. Pimpinan di tempat kerja yang menyediakan sekitaran positif sebegini memainkan peranannya sebagai ketua.
Mengasah kemahiran ini iaitu mendengar dengan teliti untuk memahami menjadi semakin penting dan kritikal apabila kita mula menggalas amanah sebagai ketua. Misalnya, seorang ketua unit dengan tiga orang staf berbanding dengan seorang staf akan berdepan dengan gelagat organisasi yang pelbagai dan unik dengan keperluan fizikal dan emosi yang juga berbeza. Bayangkan pula jika Ketua yang memimpin warga kerja yang besar dan berada di lokasi berbeza pula. Tentunya ia melibatkan keupayaan mengurus & mendorong yang juga tinggi.
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak