Pertemuan penulis dengan tokoh budaya Minangkabau, Mak Katik atau nama sebenarnya Musra Dahrizal Katik Rajo Mangkuto pada Januari 2024 memberi peluang kepada satu pandang sisi yang segar tentang adab halus berkaitan kearifan tempatan (local wisdom) di Ranah Minang, Bukittinggi.
Menangkat naratif asas dan menyentuh adab halus di kalangan setiap individu amat terkait dengan para siswa khususnya di peringkat pengajian tinggi yang bakal mengangkat bakat dan kemahiran bagi memenuhi pasaran kerja.
Kebolehpasaran (employability) para graduan turut disumbang oleh kemahiran kendiri dan generik yang dikuasai oleh para graduan dan siswa.
Menurut kajian di peringkat global bahawa penguasaan soft skill seperti kemahiran komunikasi, mengurus konflik dan perbezaan, kemahiran mengurus masa sehinggalah kepada keupayaan menyelesaikan masalah (problem solving) merupakan di antara kemahiran utama bagi mana-mana individu kuasai bagi mendepani keperluan pasaran kerja dan kerjaya. Survei dilaksanakan badan dunia seperti World Economic Forum menggambarkan ciri-ciri berkenaan melalui kajian berkala di peringkat global.
Mewujudkan suasana berfikir di kalangan orang muda terutama para pelajar merupakan satu usaha yang berterusan dan harus dilakukan secara konsisten. Sedari kecil anak-anak didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan alat kerja demi menyediakan mereka mendepani masa depan yang semakin kompleks dan mencabar. Perubahan keperluan anak-anak muda jelas boleh dlihat dengan perubahan kaedah pembelajaran dan mendidik di sekolah mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi.
Karya hebat sarjana dan ulama tersohor, Dr Abdullah Nasih Ulwan bertajuk ‘Pendidikan Anak-Anak’ turut memerihalkan kepentingan proses pendidikan anak-anak seawal usia bagi mempersiapkan anak-anak dengan kemahiran yang perlu dan relevan.
Membawa pengamatan ke zaman terkini di mana para pelajar yang melalui zaman terdahulu kini sedang berada di kedudukan tertentu di dalam organisasi mahupun mereka yang memilih untuk menjadi usahawan mahupun ahli perniagaan.
Para pelajar dan siswa ini sedang mendepani suasana berbeza. Tidak lekang dengan gajet mahupun gaya kehidupan yang jauh berbeza. Pengkategorian generasi oleh pakar-pakar gelagat sosial (social behaviourist) meletakkan kumpulan anak-anak yang dilahirkan di tahun 2000 misalnya di dalam kategori Milinial Z atau MZ dengan cara mereka melihat kehidupan berbeza. Misalnya, kerjaya tetap bukan suatu yang diinginkan oleh kumpulan ini.
Penguasaan kemahiran bekerjasama bagi setiap anak-anak muda kini dilihat sebagai satu aset dan modal terpenting bagi memajukan diri.
Penulis pernah membaca sebuah karya purba tulisan Ahli Falsafah Rome bernama Marcus Ceciro di mana karya berusia hampir 2000 tahun ini menyatakan salah satu kaedah untuk mencapai rasa bahagia adalah dengan menjaga hubungan baik dengan orang lain.
Karya bertajuk ‘How to Be A Friend’ ini antara lain menyatakan pesanan yang berbunyi, “Make new friends, keep the old ones”. Ia bermaksud, teruslah mencipta kenalan yang baru dan pada masa yang sama menghargai dan menjaga kenalan sedia ada.
Suasana & persekitaran pembelajaran anak-anak muda baik di sekolah mahupun di kolej atau pusat pengajian tinggi kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ia sama ada berbentuk infrastuktur seperti bangunan dan fasiliti mahupun kemudahan berbentuk program, modul, sistem sokongan sama ada dari Guru/Pensyarah mahupun di kalangan Ibu & Bapa dan seumpama. Setiapnya itu memerlukan jalinan kerjasama dan kolaborasi pelbagai pihak bagi menjayakan setiap usaha atau inisiatif. Kerjasama erat dan saling berkolaborasi merupakan satu Critical Success Factor atau Faktor Kejayaan Kritikal.
Mendepani masa depan yang semakin berwarna warni di saat kepesatan teknologi tidak memungkinkan apa jua usaha itu berhasil jika tiada usaha sama sebagai dasar dan premis gerak kerja.
Penulis ingin memetik satu pesanan ulama nusantara tersohor, Buya HAMKA yang pernah berpesan tentang menjaga hubungan yang baik di kalangan sahabat dan kenalan.
“..Dengan apa yang membuat orang menjadi tertarik?
Dengan budi yang tinggi, kesopanan, ilmu pengetahuan yang luas, kesanggupan menahan hati pada perkata yang belum disepakati, dengan kecerdasan, kecepatan menarik kesimpulan, kebagusan susun kata, kepandaian menjaga perasaan orang dan kesanggupan menenggang. Kumpulan sifat dan kelebihan itu menimbulkan daya tarik.
Hal itu dapat dipelajari dengan pergaulan yang luas dan juga karena diwarisi ..’
(halaman 11, Pribadi Hebat1950)
Tentunya pesanan malar segar sebegini boleh diangkat ke pelbagai peringkat pelaksanaan dan tidak hanya terhad di kalangan kenalan atau sahabat handai dan saudara mara semata-mata.
Pepatah Inggeris pula berbunyi, ‘If one wants to go fast, go alone. If one wants to go far, go together’. Jika seseorang ingin bergerak cepat, bergerak sendirian. Manakala supaya seseorang itu boleh pergi jauh, makanya bergerak dalam pasukan akan mempercepatkan proses perjalanan tersebut.
Petikan pesanan-pesanan di atas sebagai premis mengukuhkan kefahaman dan kepentingan bahawa dalam kehidupan setiap dari kita perlu bergerak dan bekerja dalam pasukan. Mana mungkin ianya boleh berlaku sekiranya skil set membina jaringan atau networking ini tidak dikuasai dan diperkasa secara berterusan. Tiada sesiapa yang boleh hidup bersendirian. Pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘life is to complete, not just to compete’ menjelaskan lanjut bahawa kita saling menyokong dan memerlukan. Hiduplah untuk saling melengkapi dan bukan sekadar hanya untuk disaingi.
Bagi memantapkan kefahaman sidang pembaca khususnya di kalangan anak-anak muda dan pelajar, penulis berkongsi pengalaman semasa berada di dunia korporat ketika mengendalikan sesi-sesi temuduga untuk calon pekerja.
Tiga (3) soalan yang penulis kerap ajukan iaitu nama Naib Canselor/Pengarah Kolej, maklumat media sosial calon yang ditemuduga dan yang ketiga berkenaan buku yang telah atau sedang dibaca oleh calon tersebut.
Soalan-soalan asas ini penulis jadikan panduan bagi mencapai makna dan memahami karakter calon yang umumnya di kalangan orang muda. Meskipun masih ada di kalangan calon yang mengamalkan 3K iaitu kelas, kafe dan katil dan tidak bergaul dengan orang lain namun lebih ramai yang mampu menjawab dengan baik soalan-soalan tersebut sebagai petunjuk bahawa mereka mengambil peluang untuk berinteraksi dan berkolaborasi semasa tempoh pengajian di pusat pengajian.
Penekanan kepada keterlibatan pelajar dengan aktiviti tambahan bukan sahaja memperkaya kemahiran individu bahkan ianya akan melatih anak-anak muda untuk lebih bersedia dengan kemahiran-kemahiran penting seperti mengurus perbezaan di kalangan rakan-rakan, kemahiran mengutamakan hubungan baik dan bukannya kemahuan untuk kelihatan sentiasa betul & hebat serta kemahiran-kemahiran generik yang lain.
Kerap kita dengar keluhan dan perkongsian di kalangan majikan dan para pemilik perusahaan berkenaan kelompongan skil atau kemahiran para pelajar ketika sesi temuduga mahupun ketika menghadiri sesi Latihan Industri atau praktikal.
Anak muda dianggap tidak memiliki kemahiran yang diperlukan seperti berbual-bual atau menyampaikan satu-satu poin penting apabila diajukan dengan soalan.
Di sini terletaknya kepentingan bagi anak-anak muda terutama para pelajar meluaskan kelayak yang didampingi dan tidak hanya berpada dengan rakan-rakan yang sekufu atau sama citarasa semata-mata. Menambah kelayak atau kenalan yang perlu didampingi ini akan membantu menjelaskan lagi bahawa di luar sana terdapat pelbagai ragam dan gelagat ahli masyarakat yang perlu disantuni dengan baik. Penulis ibaratkan kaedan CYC iaitu ‘change your circle, it will change your conversation’. Apabila kelayak ditambah atau diubah nescaya bahan berfikir & berbual juga berubah dan bertambah.
Tiga kaedah mudah yang boleh dimulakan oleh anak-anak muda terutama di kalangan pelajar di pusat pengajian tinggi termasuk yang berikut:
- Penglibatan di dalam aktiviti tambahan di luar kampus pengajian. Kerja kumpulan (group assignment) atau program Bakti Siswa/khidmat komuniti misalnya akan mendedahkan para pelajar kepada kemahiran merancang dan berkomunikasi di dalam aktiviti komuniti.
- Mendampingi orang-orang bijaksana di kalangan mereka yang lebih dewasa.
- Memilih bahan bacaan terpilih yang mampu mendorong & meransang budaya berfikir dan analitik.
Tulisan ini diakhiri dengan satu pesanan Baginda Nabi saw yang sering kita ungkapkan tentang manusia itu dijadikan yang terbaik dan untuk memberi manfaat pada orang lain. Nabi bersabda di dalam satu Hadis yang bermaksud,
‘Sebaik-baik manusia itu adalah dia yang memberi manfaat pada orang lain”
(HR Ahmad)
Justeru, penulis menyeru agar sidang pembaca terutama para siswa meneruskan azam dan iltizam agar terus menjana bakat dan kemahiran kendiri dalam berkolaborasi sesama individu tanpa mengira adat & budaya, lokasi mahupun generasi umur.
Oleh :
Hj Syamsul Amri A Razak
Tarikh: 6 Nov 2024