Title: Seni Menjadi Pemimpin Berkarisma dengan Menjadi Pengikut Yang Berkarisma

Umumnya, mencirikan karismatik lebih terdorong kepada apa yang terkelihatan. Seseorang dianggap karismatik apabila berpakaian tertentu atau mengenakan sepatu berjenama tertentu.

Teori ‘High Context Culture’ digagaskan oleh pengkaji bidang kemanusiaan Edward T Hall di dalam karyanya ‘Beyond Culture’ (1976) mencadangkan dimensi-dimensi penting membezakan gelagat seseorang itu. Ilmu kemanusiaan ini adalah penting terutama melibatkan silang budaya antara bangsa dan kaum.

Misalnya, komuniti Asia sangat menghargai hubungan baik berbanding bercakap secara berterus terang dengan bebas dalam berkomunikasi. Bahkan, orang Asia seperti orang Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya meletakkan berdiam itu sebagai simbol penting dalam menjaga hubungan baik. Orang Asia lebih kerap mendengar dengan mata berbanding apa yang diucapkan. Seorang ketua misalnya harus cermat dalam menjaga bahasa badan apabila berada dengan ahli pasukan yang diketuai. Memenuhi pelawaan anak buahnya ke majlis Doa Selamat atau Walimah sangat diberi ‘markah’ yang tinggi kepada seseorang pimpinan di negara ini.

Seorang ketua yang ingin dilihat karismatik harus menekankan keperibadian yang baik dan disenangi ahli pasukannya. Istilah kepimpinan melalui tauladan sangat penting agar ketua memberi contoh yang baik dan mudah diikuti anak buahnya. 

Ini berbanding dengan masyarakat yang tergolong di dalam ‘low context culture’ seperti di kebanyakan negara di Barat. Bagi mereka, fakta dan nombor diutamakan berbanding hubungan baik. Misalnya, meskipun berurusan dengan kenalan rapat, margin keuntugan sangat penting walaupun ia boleh menjejaskan hubungan baik. Sebagai tambahan, mereka di Barat amat menekankan ‘verbal communication’ berbanding orang Asia yang lebih cenderung kepada ‘non-verbal communication’.

Ringkasnya, bagi seseorang ketua di negara ini, mengetahui dan menguasai kemahiran komunikasi bahasa badan harus diberi penekanan agar aktiviti kepimpinan dan mengemudi pasukan adalah lebih harmoni.

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak