[Bacaan 5 Minit]
Penulis terlibat secara langsung sebagai Tenaga Pengajar & Pembina Modul bagi satu program pensijilan professional. Sesi Penganugerahan Sijil Profesional Kepimpinan dan Integriti (SPKI) bagi Kumpulan Pertama dan Kedua anjuran secara bersama di antara Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Fakulti Ekonomi & Pengurusan (FEP) UKM pada 23 April 2026 yang telah disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Ketua Setiuasaha Negara selaku Pengerusi IIM.
Antara yang sangat menarik di dalam ucapan TS KSN adalah beliau merujuk beberapa pesanan dari langit melalui Firman-Nya di dalam Al Quran.
Tan Sri Pengerusi IIM memetik firman-Nya di dalam Surah al-Anfal: 27,
“Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu”.
Menurut Tan Sri KSN lagi, “Tiada integriti ibarat jasad tanpa roh. Maka, integriti tanpa roh adalah umpama jiwa yang mati.” Jelas dan sangat relevan akan pesanan ini dalam mengaitkan kepentingan integriti untuk menghidupkan jiwa.
Beliau melanjutkan lagi pesanan dengan memetik pepatah Arab yang berbunyi; “At-takleef wa la tasyreef”. Ia memberi makna bahawa satu-satu tugas ini adalah amanah dan bukan untuk sesuatu yang perlu dibangga-banggakan. Tugas atau jawatan bukan sekadar satu kemuliaan, bahkan ia adalah beban tugas yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Usaha menjadikan integriti bukan sekadar pematuhan peraturan, ia harus dibudayakan sebagai budaya hidup dan amalan harian.
Umum mengetahui bahawa kedudukan Malaysia dalam Corruption Perception Index (CPI) 2025 telah meningkat tiga (3) anak tangga kepada 54 daripada 182 buah negara berbanding kedudukan ke-57 pada tahun 2024 berdasarkan Laporan Indeks Persepsi Rasuah tahun 2025 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia pada 10 Februari 2026. Kedudukan ini turut membantu peningkatan skor keseluruhan kepada 52 mata berbanding 50 pada tahun 2024.
Perlu diingat bahawa pencapaian ini adalah bagi tahun yang terdahulu. Umum akan ternanti-nanti pula bagaimana laporan ini dihasilkan untuk Tahun 2026 ini.
Awal tahun 2026, negara digemparkan dengan pendedahan kes berskala besar dan melibatkan pimpinan tertinggi badan-badan penguatkuasa dan ketenteraan. Ini sangat merunsingkan rakyat secara umumnya. Kes-kes berprofil tinggi tersebut sedang di dalam perbicaraan mahkamah.
Persoalan penting yang mendepani setiap dari kita selaku rakyat Malaysia yang sangat cintakan keamanan dan keadilan adalah:
- Bagaimana krisis akhlaq ini harus dihentikan? Penulis memilih untuk menggunakan perkataan akhlaq, satu kalimat dengan kata dasar Bahasa Arab berbanding dengan moral agar ia akan terus terkait dengan al-Khaliq iaitu Yang Maha Mencipta.
- Persoalan kedua adalah bagaimana setiap dari kita yang mewakili pelbagai tahap pendidikan dan jawatan, kedudukan di dalam organisasi dan komuniti sehinggalah ke peringkat peribadi sebagai bapa, ibu dan ahli keluarga memberi makna terhadap pelaksanaan agenda integriti yang diterajui oleh Institut Integriti Malaysia atau IIM ini?
Penulis ingin memetik satu pesanan penting dari Insan Agung Baginda Nabi SAW selaku suri tauladan yang terbaik dan diutuskan untuk membawa rahmat ke sekelian alam. Baginda membawa kebaikan bersifat menyeluruh dan ampuh serta sesuai dan relevan merentas masa dan zaman.
Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud:
“Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah, dia mengkhianatinya”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Bersandarkan pesanan Nabi Muhammad SAW tersebut, ia merupakan ‘pre-emptive measure’ atau langkah awal sebelum seseorang itu terjebak dengan salah laku yang lebih jauh dan besar. Seseorang yang mencermati kata-kata dan janji yang dibuat serta menjaga amanah yang digalas akan terdorong untuk bersikap jujur dan menjauhi salah laku yang lebih besar.
Apakah yang boleh dan perlu dilakukan seterusnya?
Tiga langkah yang boleh diaplikasi oleh setiap dari kita di dalam kehidupan:
- Menakrifkan makna integriti dengan sejelas-jelasnya dengan mengaitkan ia dengan akhlaq yang terpuji.
- Membentuk dan mendampingi ‘circle of influence’ atau kelompok berpengaruh agar kefahaman yang betul dapat dikongsikan.
- Menjadualkan perbualan mendalam (deep conversation) atau jika di kalangan ahli keluarga dengan mewujudkan ‘intellectual conversation’ secara berterusan.
Intiha, memberi makna secara peribadi tentang integriti haruslah digiatkan agar ia bukan hanya kata-kata yang dinaikkan di dinding pejabat mahu pun papan-papan iklan. Ia perlu disertai dengan jiwa yang jelas akan pentingnya bersikap dan berfikir secara jujur dan dengan semangat ihsan seperti yang diajar oleh Agama.
Bukankah setiap dari kita akan dipersoalkan atas setiap amanah dan tanggungjawab yang digalas?
Menutup tulisan ini, Penulis memetik tulisan Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Datuk Dr Anis Yusal Yusoff di dalam ‘Recentering Governance, Integrity & Anti-Corruption in Malaysia’ (2020);
‘History reiterates that systemic integrity and an honest government are built on personal integrity. In short, a system of governance is only as good as the people who administer it’
Ayuh, bersama kita menguatkan azam untuk menghidupkan budaya integriti dalam segenap kehidupan.
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak