[Bacaan 5 minit]
Pepatah Arab yang sangat lazim didengar ada berbunyi;
“العقل السليم في الجسم السليم”
‘Aqal yang sihat akan menghasilkan jasad yang sihat’
Apabila diulang baca sekurang-kurangnya tiga kali, nescaya ia akan ‘meresap’ ke dalam hati. Pesanan bersifat peribadi yang mengingatkan setiap dari kita agar prihatin dengan kesihatan aqal dan juga jasad (fizikal).
Penulis mengambil usaha secara peribadi, bermula sekitar tahun 2020 sejurus semasa PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu. Sasaran sederhana pada awalnya kini sedikit demi sedikit meningkat kepada 100KM /bulan. Manfaat peribadi hanya akan dapat diceritakan bagi yang melaluinya.
Mari kita kaji dan baca bagaimana prestasi pimpinan/tokoh dalam menjaga dan menggalakkan penjagaan kesihatan buat diri dan ahli pasukan.
Carian mudah di AI Copilot menerbitkan beberapa maklumat.
YBhg Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan tersohor di negara ini. Selain dari pencapaian luar biasa Tun ketika menerajui negara, Tun juga dikenali sebagai seorang yanag sangat menjaga pemakanan dan kesihatan. Paparan dan perkongsian beliau di laman sosial ketika aktiviti riadah misalnya bukanlah sesuatu yang dibuat-buat dan hanya baru diamalkan. Ia merupakan gaya hidup beliau yang sebati dengannya.
Buku beliau bertajuk ‘Doctor in the House’ (2011, MPH Publishing) banyak menceritakan gaya hidup beliau yang tidak kenal erti rehat terutama rehat dari membaca dan berfikir. Pesan Tun lagi yang dinyatakan di dalam buku berkenaan,
“If you don’t use your brain, it begins to regress”.
Menurut Prof Emer Dato Seri Ir Dr Zaini Ujang, Sarjana dan Penulis tersohor yang turut menerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2025 oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) atas jasa beliau dalam bidang pengurusan air dan kelestarian alam sekitar telah menulis sebuah buku terbaru bertajuk ‘Cleanliness in Japan: An Outsider’s Perspective’ (2026, UTM Press). Beliau menulis tentang masyarakat di Jepun, hasil penjagaan kebersihan dan kesihatan sehinggakan dicatatkan lebih 146 ribu rakyatnya berumur melebihi 100 tahun! Bahkan, satu daerah atau provinsi di Jepun, Simane dilaporkan sebagai satu kawasan paling ‘tua’ di Jepun di mana lebih 30% penduduknya berusia melebih 65 tahun dan keatas melebihi purata kebangsaan Jepun.
Sebuah pulau kecil di Norway, Pulau Sommarøy yang tidak menggunakan jam pula menggambarkan betapa penduduk di perkampungan tersebut mencipta tenang tanpa ada kegopohan dalam menguruskan kehidupan seharian.
Insan Agung SAW sebagai suri tauladan.
Insan Agung Nabi SAW sendiri, melalui seerah memberi contoh terbaik dalam penjagaan kesihatan. Lihatlah cara pemakanan Baginda yang sederhana, Baginda berhenti makan sebelum kenyang misalnya, saranan aktiviti berjalan yang ditunjukkan Baginda, aktiviti-aktiviti fizikal yang diceritakan oleh para Sahabat seperti aktiviti memanah, lumba lari dan pelbagai lagi kisah tentang Baginda SAW.
Kepentingan penjagaan kesihatan bukanlah satu topik asing atau pun baru. Subjek kesihatan misalnya telah pun mula diajar seawal umur persekolahan anak-anak. Falsafah Pendidikan Negara sebagai tunjang dan asas sistem pendidikan negara mengangkat pendekatan JERI atau Jasmani, Emosi, Rohani & Intelek dijadikan asas pendidikan di negara ini demi melahirkan insan seimbang secara menyeluruh & bersepadu.
Bagaimana kait langsung tahap kesihatan dan kesejahteraan seseorang terutama di kalangan pimpinan dan ketua organisasi?
“There is a particular concern for the individual health of leaders since leaders play a particularly important role in the success and future survival of firms“
(The Impact of Leadership on Health – A Preliminary Discussion May 2010, Review of International Comparative 222 Management)
Satu artikel menarik yang Penulis baca bertajuk ‘The Stress of Leadership‘ (2007) terbitan Centre for Creative Leadership melalui satu survei telah menghasilkan penemuan penting termasuk di bawah:
- Eighty-eight percent of leaders report that work is a primary source of stress in their lives and that having a leadership role increases the level of stress.
(80% ketua firma menyatakan tugasan kerja merupakan sumber tekanan dan ia meningkat apabila memegang tugasan kepimpinan) - More than 60 percent of surveyed leaders cite their organizations as failing to provide them with the tools they need to manage stress.
(Lebih 60% ketua firma menyatakan bahawa firma mereka tidak menyediakan kemudahan & alat kerja diperlukan untuk mengurus tekanan di tempat kerja) - More than two-thirds of surveyed leaders believe their stress level is higher today than it was five years ago.
(Lebih 2/3 dari mereka yang ditemu bual menyatakan bahawa tahap tekanan mereka kini adfalah lebih tinggi berbanding lima tahun dahulu) - Nearly 80 percent of surveyed leaders state they would benefit from a coach to help them manage stress.
(Hampir 80% dari mereka menyatakan beroleh manfaat dari Jurulatih / coach bagi mengurus tekanan yang dihadapi)
Meskipun ia dapatan yang agak lama hampir dua puluh tahun lalu, namun Penulis percaya maklumat sebegini masih relevan dan tidak mustahil ia bertambah kritikal pada masa ini.
Apa yang perlu dilakukan dan dimulakan?
Tiga pesanan mudah ini boleh dipertimbangkan:
- Menetapkan sasaran harian dan mingguan bagi aktiviti riadah. Ia boleh dimulakan dengan aktiviti kecil dan berterusan. Misalnya, aktiviti berjalan kaki sejauh 1 km setiap hari.
- Mengikuti laman media sosial yang menggalakkan atau mempromosi hidup aktif dan sihat. Misalnya, laman FB atau Kumpulan Whatssapp mahupun Grup aktif di kejiranan.
- Berbual dan berkawan-kawan dengan mereka yang menjalani kehidupan aktif & sihat sama ada di kalangan jiran tetangga mahu pun kenalan di tempat kerja. Ia sebagai aktiviti pencetus ke arah memperbaiki cara dan gaya hidup yang lebih baik.
Intiha, memburu kesihatan yang baik merupakan satu fardhu ‘ain atau kewajipan peribadi (personal obligation) bagi masing-masing peribadi dan diri.
Apabila seseorang individu itu, sama ada seorang ketua mahu pun tiada jawatan tertentu, menjadikan penjagaan kesihatan sebagai agenda peribadi, ia akan memberi manfaat kepada dirinya dan juga orang lain.
Mencontohi Baginda Nabi SAW dari setiap perbuatan termasuk penjagaan kesihatan kini bukan lagi pilihan, ia sesuatu yang mesti diberi perhatian.
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak