Title: Ketua Sebagai Guru: Istimewa Buat Guru

[Bacaan 2 Minit]

Artikel ini ditulis sebagai memperingati Sambutan Hari Guru Tahun 2026.

Bertemakan ‘Guru Bitara Nadi Negara’, pelbagai acara dan sambutan diadakan demi meraikan kerjaya perguruan yang sangat dihormati.

Penulis bersama isteri, sebagai sokongan kepada sambutan tahunan ini, memilih untuk menghadiri Syarahan Khas oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam acara bersiri Saturday Night Lecture pada 16 Mei 2026 bertempat di UTM Kuala Lumpur.

Siri Syarahan bagi Siri ke-17 ini merupakan Sesi Bicara Ilmu yang dimulakan oleh al-marhum Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sejak tahun 1992. Siri ilmiah yang segar dan penting bagi mengenengahkan pemikiran dan pandangan alam (world view) Islam yang betul dan relevan dalam mendepani pelbagai isu dan cabaran umat masa kini.

Secara khusus, Prof Wan Mohd Nor ketika memulakan Syarahan beliau mengingatkan tanggungjawab bagi setiap murid dan pelajar untuk memperingati serta mendoakan para guru bukan hanya pada setiap 16 Mei. Ia harus dilakukan pada setiap masa.

Mengiktiraf guru, menurutnya lagi, bukan hanya dengan cara memberi anugerah dan kedudukan. Ia juga bukan hanya terhad kepada menganjurkan acara tertentu.

Pesan mantan Pengarah-Pengasas RZS-CASIS dan Kerusi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia ini, memahami dan mengamalkan idea serta gagasan yang dihasilkan oleh seorang guru harus dijadikan keutamaan.

Ini turut membawa makna bahawa seseorang guru atau pendidik menggalas tugas yang sangat penting dalam membentuk cara berfikir mereka yang dididik. Tergalas di bahu setiap guru untuk mampu menerbitkan idea dan gagasan yang jelas dan besar. Ia tidak hanya terhad kepada menyelesaikan silibus pembelajaran semata-mata.

Panggilan hormat yang lazim diberikan kepada seorang guru kini sedang diuji. Guru kelihatannya dilihat secara eksklusif untuk merujuk guru di sekolah. Namun, umum kini mula memautkan panggilan guru kepada Muallim, Muaddib, Pensyarah, Jurulatih, Pemandu Citra (Coach) dan fungsian yang sama. Ini satu perkembangan yang positif.

Ini turut memberi maksud bahawa fungsi mendidik, mengajar, menerangkan, mensyarah dan membimbing menjadi tugas dan fungsian hampir setiap dari kita.

Penulis memetik Titah DiRaja Sultan Perak ketika melancarkan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2026,

Pendidikan adalah tentang memberi arah, bukan hanya memberi arahan’.

Pesanan yang jelas mencakupi pandang arah dan terkehadapan. Ia melewati sudut teknikal dan alat kerja semata-mata. Ia tentang memberi arah.

Bagaimana pula kaitan profesion perguruan yang diberi kemuliaan ini terkait dengan ilmu kepimpinan? Apakah peranan seorang ketua dalam membimbing pasukan dan organisasi?

Apabila tugas membimbing, menerangkan, mendidik, membetuli, mengajar hatta memimpin pasukan itu digalas, setiap pimpinan organisasi adalah seorang guru dan pendidik.

Setiap pimpinan organisasi harus hanya memberikan contoh yang baik. Ketua organisasi akan hanya membuat keputusan yang betul agar ia boleh dicontohi oleh ahli pasukan. Ketua pasukan, ketua komuniti dan ketua keluarga akan hanya membina keupayaan diri ke arah kefahaman yang baik agar pandu arah yang diberikan kepada pasukan dan keluarga akan hanya pandu arah yang baik dan betul.

Bukankah Insan Agung Nabi SAW juga dianggap al-Mu’allim terbaik dan perlu dicontohi dari segenap segi?

Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak
16 Mei 2026