[Bacan 2 minit]
Menjelang hari Arafah 1477H, para dhuyufurrahman sedang membuat persiapan akhir menuju ke padang Arafah sebagai kemuncak ibadah Haji.
Tanpa sedar, hati Penulis berasa sayu dan hiba mengenangkan suasana dan perasaan yang sangat sukar untuk digambarkan ketika berada di Tanah Suci sewaktu Musim Haji Tahun 2019 yang lalu. Segala-galanya kelihatan sempurna dan indah sekali!
Bagaimana peranan seseorang individu terutama pimpinan organisasi, syarikat mahupun keluarga dan komuniti dalam memberi kefahaman penting dan utama apabila memerihalkan tentang pengorbanan?
Penulis ingin berkongsi petikan pantun yang dihasilkan oleh almarhum Tenas Efendy, seorang Pakar Budaya Melayu seperti yang dirujuk di dalam portal malaycivilization.com.my seliaan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM;
Di dalam majlis bermuka manis,
Di dalam helat duduk bersifat,
Di dalam rumah beramah tamah,
Di dalam dusun tuntun menuntun,
Di dalam kampung tolong menolong,
Di dalam negeri beri memberi,
Di dalam kota rasa merasa.
Karya Tenas Efendy ‘Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu (2000), DBP
Melihat baik-bait pantun yang dinukilkan oleh tokoh budaya tersebut, apakah yang tuan dan puan dapat simpulkan dalam mencirikan seseorang pemimpin? Adakah tentang menerima manfaat?
Ia tentang memberi, dan bukannya menerima semata-mata.
Ia tentang memberi rasa dan sabar.
Memberi kemudahan dan kesenangan pada orang lain.
Ia juga tentang berpada-pada dan sederhana dalam apa jua yang dilakukan.
Inilah pengorbanan.
Seorang ketua, baik sebagai ketua keluarga dan komuniti, ketua badan amal dan korporat sehinggalah mereka yang mengetuai negeri dan negara akan banyak dan perlu banyak berkorban.
Pengorbanan yang dibuat apabila setulus kata dan hati nescaya akan memberi bekas kepada diri dan negeri. Pengorbanan yang tidak dicanang-canang dan diungkit.
Menhayati erti pengorbanan tidak lagi hanya tentang sembelihan dan pulang ke kampung.
Ia kini perlu diresapi di dalam masing-masing diri.
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak
(8 Zulhijjah 1447H)
